Selasa, 30 Mac 2010





Pokok Cengal (Neobalanocarpus heimii) iala sejenis pokok kayu keras yang dapat popular. Kawasan taburan semula jadi pokok ini terhad kepada Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand.

Pokok cengal menghasilkan kayu terbaik dan mencapai harga tertinggi di pasaran jika dibandingkan dengan jenis kayu lain dan tergolong dalam keluarga 'Dipterocarpacease' iaitu sejenis pokok menghasilkan buah yang mempunyai sepasang sayap serta mengeluarkan resin atau damar.

Kayu cengal adalah kayu keras yang tahan lama dan mempunyai ketumpatan antara 915 hingga 980 kilogram per meter padu yang kebiasaannya digunakan dalam kerja pembinaan berat terutama pembinaan bot, selain dijadikan tiang, serta jambatan tanpa perlu diawet kerana ia tahan dari serangan anai-anai.

Ketahanan kayu itu disebabkan terdapat sejenis bahan awet semula jadi yang melindungi kayu teras. Kayu gubal, teras serta kulit pokok cengal mempunyai sejenis damar yang dikenali sebagai damar penak dan boleh digunakan dalam pembuatan varnis.

Di Malaysia, pokok cengal tumbuh di kawasan hutan tanah pamah yang mempunyai ketinggian kurang dari 1,000 meter terutama di kawasan yang mempunyai saliran air yang baik. Kebiasaannya pokok cengal hidup dengan baik di kawasan yang menerima hujan lebih dari 2,000 milimeter setahun dan tiada musim kemarau yang panjang.

Pokok Cengal terbesar dan tertua di Malaysia dijumpai di Kompartmen 5, Hutan Simpan Pasir Raja, Hulu Dungun pada 1999 oleh Pegawai Renjer Durian Mas II, Encik Omar Mohamad.

Pokok Cengal tersebut setinggi 65 meter dengan ukur lilitnya 16.75 meter, atau kira-kira 13 pemeluk, serta bergaris pusat 5.32 meter memerlukan 27 buah lori bagi mengangkut kayunya jika ditebang. Isipadu pokok cengal ini dianggarkan 220m3 dengan keberatan 120 tan metrik.

Usia pokok tertua ini dianggarkan 1,300 tahun iatu berdasarkan kaedah pengiraan pokok di kawasan tropika mengikut pertumbuhan gegelang (growth ring) pada kadar 0.4sm setahun.

Pokok yang terletak lebih kurang 200 meter dari sempadan Taman Negara dan 390 meter dari paras laut di kawasan Kompartmen 5 hutan ini, telah menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai pokok terbesar di Semenanjung Malaysia dan didokumenkan dalam keluaran edisi ketiga pada tahun 2001.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan